Sunday, September 23, 2018

KEPENTINGAN SISTEM PENGURUSAN MAKLUMAT


Learning Management System (LMS) banyak digunakan di sekolah dan institusi pengajian tinggi. Hal ini kerana, system ini memounyai pelbagai kelebihan kepada para pelajar dan organisasi. Memandangkan pembelajaran masa kini sangat mementingkan maklumat yang tepat, kemas kini dan mudah diperoleh, sistem LMS dilihat sebagai sistem yang memainkan peranan penting dalam pembelajaran masa kini. Bahkan, dalam bidang pendidikan juga maklumat yang perlu disampaikan sangat banyak dan memerlukan satu sistem yang sistematik agar penghasilan dan penyampaian maklumat tersebut tersusun dan lancar. Contohnya, maklumat berkaitan pelajar, staf dan pengurusan sekolah berlaku terlalu banyak dalam sehari dan perlu disampaikan dengan pantas.
Sistem secara manual tidak lagi dapat menampung maklumat yang terlalu banyak untuk disampaikan dalam masa sehari. Oleh itu, sistem pengurusan yang lebih cekap perlu diperkenalkan selaras dengan zaman teknologi yang semakin berkembang. Penggunaan LMS wajar diperluaskan bagi menjamin kecekapan  dan menghasilkan kerja yang produktif malah boleh menaikkan semangat bekerja dalam kalangan staf.
LMS digunakan oleh pelajar di sekolah, pelajar di institusi pengajian tinggi, guru, pensyarah, staf-staf pendidik, ahli peniagaan dan kerani di pejabat. Selain itu, ia juga digunakan oleh institusi-institusi penyelidikan untuk meningkatkan dan menyokong pengajaran bilik darjah. Contohnya, di UKM, LMS yang digunakan adalah SPIN yang digunakan oleh pelajar dan pensyarah.

Berikut adalah antara kepentingan LMS dalam pelaksanaan tugas harian dan pembelajaran seseorang secara keseluruhan:
1.  Tugas dapat dijalankan dengan cekap.
2. Meningkatkan semangat untuk bekerja dan belajar bersungguh-sungguh.
3.  Dapat berkongsi maklumat dalam kumpulan yang lebih besar.
4. Menjimatkan masa kerana maklumat boleh diperolehi dengan cepat malah maklumat itu tidak perlu ditaip semula.
5. Meningkatkan kecekapan organisasi.
6. Jaminan keselamatan penyimpanan data.
7. Merupakan system yang sistematik untuk menguruskan apa jua program.
8.  Dapat digunakan berulang kali serta sepanjang masa.
9. Dari segi pendidikan, tumpuan terhadap perkara yang berkaitan dengan pengajaran-pembelajaran dapat diberikan dengan lebih mendalam.
10. Sumber yang sama membuatkan maklumat sentiasa dikemas kini dan konsisten.

    LMS secara relatifnya mempunyai kos yang agak rendah dan tahap kemahiran pengguna yang diperlukan adalah tahap yang asas. Selain itu, komunikasi dua hala antara pensyarah dan pelajar akan menjadi lebih mudah dengan bantuan chat real-time, emel dan sebagainya. Seterusnya, pelajar hanya memerlukan sambungan internet untuk mengakses maklumat di mana saja dan bila-bila masa. LMS membolehkan pengesanan pelajar dan komputer, merekod dan dapat menganalisis prestasi pelajar.
  LMS adalah sebuah aplikasi perisian untuk pentadbiran, dokumentasi, pengesanan, laporan, dan penyampaian kursus pendidikan dalam talian atau program latihan. Bagi  memudahkan akses ke kandungan pembelajaran dan pentadbiran, kebanyakan LMS adalah berasaskan web. LMS sangat berguna dalam melicinkan pengurusan pentadbiran kerana kelebihannya dalam penghantaran maklumat dengan cepat. Kolej dan universiti juga menggunakan LMS untuk menyampaikan kursus-kursus dalam talian dan menambah kursus di kampus. Jabatan latihan korporat menggunakan LMS untuk memberikan latihan dalam talian, serta mengautomasikan penyimpanan rekod dan pendaftaran pekerja. Oleh yang demikian, masyarakat dinasihatkan supaya bersikap lebih terbuka dan dapat menerima LMS sebagai sebahagian daripada alat pembelajaran masyarakat kelak.

Ciri-ciri Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS-Learning Management System)


  LMS secara umumnya digunakan untuk menyeragamkan usaha pentadbiran, memudahkan dan memastikan anggota kakitangan menerima program atau latihan yang sesuai serta membantu menguruskan bilik darjah, tenaga pengajar, kelengkapan, dan sumber-sumber yang diperlukan untuk menyampaikan kursus dengan lebih efektif. Oleh itu, LMS memerlukan beberapa ciri yang boleh memberi keberkesanan kepada penggunaan sistem ini.

  Ciri utama LMS ialah meletakkan bahan kursus di atas talian seperti modul pengurusan kursus. Penyediaan butang yang diprogramkan untuk sukatan atau kandungan kursus, jadual kursus, dan bahan kursus yang dikaitkan dengan pelajaran yang khusus seperti salinan bacaan dan ‘powerpoint slides’  daripada sesi kuliah oleh kebanyakan LMS memudahkan pelajar menggunakannya. Sebagai contoh, penggunaan laman web padlet oleh pensyarah yang menjadi salah satu LMS di sesebuah institusi yang dapat membantu pelajar memperoleh maklumat dan berkongsi ‘powerpoint slides’. Berdasarkan ciri ini tenaga pengajar akan lebih mudah mengesan kemajuan pelajar melalui penilaian yang dilakukan terhadap persembahan slaid. Kuiz dan ujian dalam talian juga boleh diberikan kepada pelajar untuk meningkatkan kemajuan pembelajaran pada masa yang sama tenaga pengajar juga perlu menyediakan buku gred untuk pengisian gred pelajar secara efektif. Sebagai contoh kuiz di dalam laman web yang disediakan oleh tenaga pengajar mampu membantu pelajar dalam memahami sesuatu topik. Jelaslah bahawa kewujudan bahan kursus membolehkan pelajar mengakses bahan pembelajaran seperti persembahan slaid dan mengakses kuiz ketika di luar sesi kelas.

  Seterusnya, sistem ini juga bercirikan papan diskusi (Discussion board). Melalui spesifikasi ini perbincangan antara tenaga pengajar dan pelajar boleh dilaksanakan berkaitan sesuatu perkara. Mereka boleh berbincang mengenai pembacaan atau menyambung diskusi kuliah di antara sesi kuliah yang formal. Ciri ini amat penting kerana LMS merupakan satu sistem untuk meningkatkan tahap komunikasi pelajar dengan pensyarah di sesebuah institut. LMS sudah pastinya menjadi medan perbincangan kumpulan dan penggunaan bahan-bahan kursus yang menjurus kepada pembelajaran yang perlahan untuk memudahkan setiap pelajar yang berada dalam perbincangan memahami setiap perkara yang dibincangkan.

  Selain itu, LMS juga bercirikan alat komunikasi lain (Other communications tools). Seperti yang diketahui umum alat berkomunikasi sudah tentunya dapat menghubungkan dua pihak melalui percakapan mahupun media sosial dan kemudahan internet iaitu aplikasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi. LMS yang berasaskan-web yang merupakan aplikasi internet yang pesat digunakan dalam sektor pendidikan. Oleh itu, kita dapat mengenal pasti alat komunikasi lain yang dimaksudkan dalam sistem ini membolehkan tenaga pengajar menghantar pengumuman kepada kelas atau berhubung secara individu. Alat ini seharusnya menjadi lock box of for students yang membolehkan pelajar menyimpan bahan-bahan kelas di tempat yang selamat. Sebagai contoh, pelajar boleh menyimpan persembahan yang akan diadakan di kelas dengan selamat. Pelajar juga boleh membuat salinan kedua untuk tugasan sebagai persediaan lain.

  Di samping itu, LMS juga mempunyai ciri dalam meningkatkan perjumpaan kelas yang tidak berjadual. Perjumpaan kelas seperti ini dapat dilakukan semasa pelajar dan tenaga pengajar mempunyai masa terluang untuk mengadakan kelas secara maya menerusi aplikasi-aplikasi tertentu. Sistem ini juga bercirikan penggunaan kos secara elektif di mana pelajar boleh mengakses dan meneroka maklumat baru melalui perpustakaan secara dalam talian dan laman web. Oleh itu, pelajar dapat belajar dan meneroka maklumat serta membuat pencarian pada bila-bila masa. Pelajar juga berpeluang untuk berbincang dan berkongsi maklumat dengan tenaga pengajar luar yang berpengalaman dari institut pengajian tinggi yang lain. Melalui perkongsian tersebut pelajar dapat menambah pengetahuan yang sedia ada. Kesimpulannya ciri-ciri yang dimiliki oleh LMS menyokong sistem ini sebagai sebuah aplikasi perisian yang meluas dan mempunyai fungsi-fungsi tertentu.